Wednesday 10 February 2016

Ramai Orang Melayu Tidak Tahu Silat

Ramai orang Melayu sendiri yang tidak tahu Silat dan perkara yang berkaitan dengan Silat. Bagi mereka Silat adalah ilmu yang ketinggalan zaman, tidak mampu melawan ilmu beladiri luar seperti karate, ilmu yang tidak baik dan sebagainya.

Ramai orang Melayu memperlekehkan Silat dengan mengatakan zaman sekarang orang tak bersilat dah...orang main pistol...tembak je.. cakap pandai...pistol pun dia tak ada padahal.

Tidak kurang yang menganggap Silat mengajar perkara yang tidak baik, bergocoh (bergaduh/berhantam), angkuh, mudah marah, samseng, buli dan apa saja yang berkenaan.

Ada lagi yang mengatakan belajar Silat tak kemana, tak maju, tak boleh cari makan, membuang masa, dan entah apa lagi...

Aduhai...malangnya orang Melayu sekarang...yang tidak mengenali budaya sendiri lahir dan batin...

Silat bukan sekadar ilmu bertumbuk dan sepak terajang. Silat adalah lebih dari itu. Coba kita sama-sama renung sejenak apakah yang terdapat dalam Silat dan kenapa orang Melayu sekarang wajar menghantar anak-anak ke gelanggang.

DISIPLIN

Perkara pertama dan paling utama ialah disiplin. Silat membentuk anak gelanggang supaya menjadi seorang yang berdisiplin didalam dan diluar gelanggang. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa disiplin menjadi tunggak pelajaran didalam Silat. Silat Lintau mengutamakan disiplin murid, bermula dari menjaga masa, menjaga sahsiah diri ketika berada didalam mahupun diluar gelanggang, mengajar cara pergaulan yang betul dan baik sesama rakan. Menepati janji, menepati masa, menepati peraturan yang disampaikan oleh Jurulatih kepadanya, tidak membuang waktu dengan sia-sia dan banyak lagi.

ADAB

Adab adalah perkara kedua yang diterapkan kepada pelajar Silat Lintau. Adab merupakan komponen yang sama penting dengan disiplin. Adab bererti sopan santun. Murid diajar supaya bergaul dengan baik, bercakap dengan sopan, tidak memanggil orang yang lebih tua dengan namanya, tidak mengganggu kaum hawa dengan panggilan yang kurang sopan, menghormati guru-guru dan ibubapa, meminta izin sebelum memintas orang tua dan banyak lagi nilai budaya Melayu yang luhur diajarkan kepada pelajar Silat Lintau.

TAAT

Silat Lintau mementingkan ketaatan kerana ketaatan adalah suatu yang dituntut oleh Allah sepertimana Firman Allah didalam Surah Al-Baqarah ayat 285

2:285

Ketaatan kepada Allah dan Rasul, ketaatan kepada ibubapa dan guru-guru termasuk guru Silat, ketaatan kepada pemimpin dan negara adalah diantara bentuk ketaatan yang diterapkan kepada pelajar yang mengikuti program latihan Silat Lintau yang diajarkan di Pasir Puteh.

TANGGUNGJAWAB

Yang paling besar ialah mengenali, memahami dan melaksanakan tanggungjawab. Silat Lintau menerapkan sifat bertanggungjawab kepada pelajarnya.

Setiap murid mesti bertanggungjawab terhadap perlakuan dan ucapan.

Setiap pelajar juga diajar mengenali tanggungjawab mereka. Tanggungjawab kepada Allah sebagai pencipta, tanggungjawab terhadap ibubapa, tanggungjawab kepada guru dan tanggungjawab kepada diri. Tanggungjawab sebagai pelajar disekolah amat ditekankan supaya pelajar berjaya mencapai kecemerlangan akademik dan juga Silat.

KEPIMPINAN

Nabi S.A.W bersabda 
 عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما: أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال: ألا كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته فالإمام الاعظم الذي على الناس راع وهو مسؤول عن رعيته والرجل راع على أهل بيته وهو مسؤول عن رعيته والمرأة راعية على أهل بيت زوجها وولده وهي مسؤولة عنهم وعبد الرجل راع على مال سيده وهو مسؤول عنه ألا فكلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته
Abdullah bin Umar r.a. berkata bahwa Rasulullah saw telah bersabda, “Ketahuilah: kalian semua adalah pemimpin (pemelihara) dan bertanggung jawab terhadap rakyatnya. Pemimpin akan dimintai pertanggungjawabannya tentang rakyat yang dipimmpinnya. Suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan akan dimintai pertanggungjawabannya tentang keluarga yang dipimpinnya. Isteri adalah pemelihara rumah suami dan anak-anaknya. Budak adalah pemelihara harta tuannya dan ia bertanggung jawab mengenai hal itu. Maka camkanlah bahwa kalian semua adalah pemimpin dan akan dituntut (diminta pertanggungjawaban) tentang hal yang dipimpinnya”

Sifat kepimpinan ditanam kedalam jiwa raga pelajar yang mengikuti program Silat Lintau disekolah. Pelajar diajar agar bertanggungjawab dalam segala hal mengenai dirinya, tanggungjawab sebagai anak, tanggungjawab sebagai pelajar sekolah, tanggungjawab sebagai pesilat, tanggungjawab sebagai hamba Allah, tanggungjawabnya kepada masyarakat. Pelajar diajar memimpin diri sendiri, menjaga disiplin dan sahsiah diri supaya dirinya dilihat sebagai seorang yang berketrampilan dan berdisiplin dan bertanggungjawab.

Itu adalah diantara teras pelajaran Silat Lintau selain daripada ilmu beladiri yang diajar dengan falsafah

Zahir Pesilat Mencari Kawan
Bathin Pesilat Mencari Tuhan 

Musuh Tidak Ku Cari
Bertemu Musuh Pantang Lari  

Dari Falsafah inilah, mereka yang mempelajari Silat Lintau dibentuk akhlaqnya agar menjadi seorang yang suka berkawan dan menyambung silaturrahim, tidak suka bermusuh dengan orang, mendekatkan diri kepada Allah dan melalui falsafah ini juga mereka diajar mengenai musuh yang amat nyata yang tidak dapat dilihat dengan mata... 

bersambung.... Musuh Tidak Ku Cari...  



No comments:

Post a Comment