Monday 15 February 2016

Lahir Dari Kesedaran

"Saya tidak pernah ada niat untuk mengajar Silat Lintau ini. Ini kerana saya belajar untuk diri saya. Tak pernah ada niat untuk menjadi Guru Silat pun kerana cita-cita saya hanya lah untuk menjadi seorang Doktor dan merawat pesakit" ~ Dr. Kamal Shah.
 
Tujuh tahun selepas menetap di Pasir Puteh, Kelantan, niat untuk membuka gelanggang Silat tercetus setelah berfikir sekian lama, bagaimana cara paling baik untuk mendekati masyarakat, terutama golongan remaja, untuk mengajar beberapa ilmu agama yang dilihat kurang dimiliki oleh golongan tersebut.

Ini adalah disebabkan pengalaman yang dilalui Dr. Kamal di klinik beliau apabila beliau mendapati ramainya pesakit dikalangan remaja yang cetek pengetahuan agama Islam mereka. Beliau berfikir, bagaimanakah beliau dapat menolong golongan remaja ini, untuk menyampaikan ilmu agama di dada kepada golongan remaja ini. Bermula dari situlah, Dr. Kamal mendapat ilham untuk mendekati remaja dengan Silat.

Dalam masa yang sama, Dr. Kamal mencari jalan bagaimana hendak membuka gelanggang Silat disekolah. Disebabkan beliau tidak mempunyai Sijil Pertubuhan dan surat tauliah mengajar Silat Lintau maka sukar untuk beliau memasuki sekolah untuk mengajar.

Silat Lintau yang dipelajari Dr. Kamal di Padang Rengas, Perak tidak pernah didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan. Ini kerana, guru-guru Silat disana enggan menubuhkan persatuan dengan alasan tidak mahu Silat ini keluar dari Padang Rengas.

Dr. Kamal kemudiannya mencari guru-guru Silat yang dikenali dinegeri Kelantan. Orang pertama yang beliau temui ialah Paksu Noor Rakit, Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Terlak Empat Kelantan yang waktu itu tinggal di berek Hospital Besar Kota Bharu.

Hasil pertemuan dengan Paksu Noor mengecewakan Dr. Kamal lalu beliau berjumpa pula dengan Cikgu Wan Halim dari Pasir Puteh yang merupakan Jurulatih Seni Gayung Fatani. Cikgu Wan Halim mencadangkan supaya Dr. Kamal menemui En Suhaimi dari Pertubuhan Seni Silat Pendekar Ulung Kelantan yang berpusat di Wakaf Lichong, Pasir Puteh.

Hasil pertemuan dengan Suhaimi, Dr. Kamal telah diberi izin untuk menggunakan sijil pertubuhan Pendekar Ulung untuk mengajar di Sekolah Menengah Tok Janggut, Pasir Puteh. Setelah empat bulan mengajar di SM Tok Janggut (kini SMK Tok Janggut), Suhaimi telah meminta Dr. Kamal supaya berhenti mengajar dan membenarkan jurulatih beliau yang bernama Hanafi untuk meneruskan pelajaran Silat di sekolah tersebut.

DIPANGGIL PENGETUA

Setelah beberapa bulan Hanafi mengajar di SM Tok Janggut, Pengetua memanggil Dr. Kamal ke pejabat. Dalam pertemuan itu, Pengetua meminta supaya Dr. Kamal mengajar Silat di SM Tok Janggut dan meminta Dr. Kamal mencari Pertubuhan lain untuk membantunya mengajar. Dr. Kamal kemudian berjumpa sekali lagi dengan Cikgu Wan Halim dan Cikgu Wan Halim telah menghubungkan Dr. Kamal dengan Cikgu Wan Jaafar dan Cikgu Khairuddin yang merupakan Jurulatih yang bergiat aktif mengajar Seni Gayung Fatani di negeri Kelantan.

Melalui rundingan yang dijalankan maka Dr. Kamal bersetuju menjadi Ahli Bersekutu Gayung Fatani dan semua muridnya didaftarkan sebagai ahli bersekutu PSGFM Kelantan. Maka sijil pun dikeluarkan oleh pihak PSGFM Kelantan.

KENAPA PSGFM? 

Persetujuan Dr. Kamal adalah kerana beliau pernah menuntut ilmu dengan Almarhum Cikgu Anuar bin Abdul Wahab, Pengasas dan Guru Utama Gayung Fatani pada tahun 1974, sewaktu Almarhum mengajar di Sungai Petani, Kedah.

PERTUBUHAN SILAT LINTAU DITUBUHKAN

Pada tahun 2005, setelah 10 tahun mengajar Silat di SMKTJ, maka Pertubuhan Seni Silat Lintau Pasir Puteh, telah berjaya ditubuhkan dibawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Maka bergeraklah PSSL Pasir Puteh sehingga kini.


Zahir Pesilat Mencari Kawan
Batin Pesilat Mencari Tuhan

No comments:

Post a Comment