Diantara Falsafah yang diterapkan kepada pelajar Silat Lintau ialah falsafah yang berbunyi "Musuh Tidak Kucari, Bertemu Musuh Pantang Mengelakkan". Siapakah musuh yang dimaksudkan?
Musuh umat manusia ini terdiri dari tiga golongan, Jin, Haiwan dan Manusia. Falsafah musuh tidak ku cari ini merangkumi ketiga-tiga kategori iaitu Jin, Haiwan dan Manusia.
Yang paling utama ialah Musuh dikalangan Jin iaitu Syaitan dan Iblis yang kerjanya menyesatkan manusia, mengadu domba iaitu menyemai perasaan marah dan bermusuh sesama manusia, membisikkan bisikan-bisikan yang memudaratkan diri, keluarga dan masyarakat. Pembaca boleh mengetahui lebih lanjut mengenai pekerjaan Syaitan ini daripada pengajian ilmu tasauf di surau-surau, masjid-masjid dan sebagainya.
Syaitan merupakan musuh utama manusia. Hal ini diberitakan kepada kita oleh Allah S.W.T sendiri melalui firmannya didalam AlQuran. Antaranya ialah ayat 53 Surah Al-Isra' yang berbunyi:
Dan katakanlah kepada
hamha-hamba-Ku: "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik
(benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara
mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.
Pelajar Silat Lintau diajar supaya mengenali diri agar tidak terikut dengan hasutan dan bisikan syaitan yang sentiasa mengganggu manusia dengan berbagai cara. Pelajar juga diajar mengenali sifat-sifat yang terhasil dari bujukan syaitan agar menjadi pedoman didalam kehidupan seharian mereka. Semoga dengan panduan tersebut mereka terselamat dari hasutan, bisikan dan bujukan Syaitan yang direjam.
MUSUH KEDUA
Musuh kedua yang juga tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kita ialah kita sendiri atau sifat yang ada pada diri kita sendiri. Sifat seperti angkuh, sombong, dengki, bongkak, merasa lebih daripada orang lain, kufur ni'mat, syak wasangka, dendam, iri hati dan banyak lagi sifat-sifat mazmumah yang lahir samada dari bisikan Syaitan ataupun dari nafsu yang tidak dapat dikawal oleh 'akal dan Iman.
Justeru, pelajar Silat Lintau diajar mengenali tingkatan-tingkatan nafsu dalam diri masing2 supaya dapat dikawal dengan baik dan supaya pelajar itu dapat meningkatkan dan mengekalkan ketenangan didalam hati dengan merapatkan diri kepada Allah, melalui cara membaca Al-Quran, berzikir dan menghidupkan Sunnah Rasulullah S.A.W. pada diri masing-masing.
Alangkah indahnya kehidupan ini kiranya kita semua dapat meningkatkan amal dan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah, mencari keredhaan Ilahi yang hakiki.
MUSUH KETIGA
Musuh yang ketiga ialah adalah dari kalangan haiwan, samada haiwan yang berbisa ataupun tidak. Golongan ini kadangkala kelihatan dengan mata, kadangkala tersembunyi atau terlindung dari pandangan. Diantara musuh ini ialah binatang reptilia seperti Ular yang kadang-kadang kita tidak perasan kehadirannya berhampiran dengan kita... silap haribulan aruah lah kita dibuatnya...
Oleh itu, pelajar diajar supaya bijak menggunakan deria dan hati, 'Raso dan Pareso' dalam hati supaya terhindar dari marabahaya dari haiwan yang ganas dan berbisa.
Wallahu a'lam.
Terbaik sheikh, musuh skrg byk
ReplyDelete