Kebudayaan Melayu itu boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti Pandangan Hidup, Bahasa, Kesenian, Sastra, Masakan, Adat Istiadat, Peralatan, Busana, Artefak, Senibina, Perubatan dan Hukum Adat.
Bila disebut kesenian maka ramai yang tidak memahami dengan sebenar apakah maksud daripadanya. Kesenian Melayu adalah perihal keahlian orang Melayu dalam mengekspresikan idea-idea estetika yang indah dan dikagumi. Kesenian Melayu dicipta sendiri oleh orang Melayu dan menjadi milik bersama masyarakat Melayu itu. Oleh sebab itulah maka kesenian Melayu merupakan representasi budaya Melayu itu sendiri.
Kesenian ini merupakan sebahagian dari usaha orang Melayu untuk bertindak balas, memahami, menafsirkan dan menjawab permasalahan yang mereka hadapi. Yang membezakan dari lain-lain kesenian adalah latar belakang tradisi dan sistem budaya yang melahirkan kesenian tersebut. Latar belakang tradisi dan sistem budaya berkait rapat dengan ilmu pengetahuan, gagasan, kepercayaan, nilai, norma dan lain-lain lagi.
Kesenian tidak hanya sebagai ekspresi keindahan tapi juga sebagai media penyampai pesan. Idea-idea estetika dan pesan budaya ini dapat dilihat dalam seni tari, seni muzik, seni tenun, seni ukir, Seni Silat, seni teater dan permainan rakyat.
Seni Silat
Seni Silat dikenali dengan adanya Pencak Silat. Di Malaysia terdapat beberapa jenis Silat yang dipelajari secara turun temurun seperti Silat Tari, Silat Tongkat dan Silat Cantik Kelantan.
Selain itu, terdapat juga Silat yang dibawa masuk dari Alam Melayu yang luas seperti Silat Teralak, Silat Jawa, Kuntau, Silat Harimau dan Silat Lintau.
Melihat kepada pelaksaannya, Silat boleh dibahagikan kepada dua kategori:
- Silat Permainan - Silat yang digunakan dalam upacara tertentu seperti Silat Pengantin, Silat Pulut, Silat Sembah dan lain-lain.
- Silat sebenar Silat - Silat yang benar-benar digunakan untuk membela diri dalam menghadapi lawan. Untuk mempelajari Silat ini, sesiapa yang ingin belajar mestilah mengikut syarat-syarat tertentu. Selain itu juga, Silat sebenar Silat ini juga dibahagi kepada tahap-tahap tertentu sebelum seseorang itu menjadi Pendekar.
1. Asal Usul
Sumatera Barat merupakan salah satu wilayah di Indonesia. Disinilah terdapat kelompok orang Melayu yang terbesar yang dikenali sebagai orang Minangkabau. Masyarakatnya sangat menggemari kesenian, termasuk seni Silat sehingga di wilayah ini terdapat berbagai aliran Silat seperti Silat Sitaralak, Silat Bayang, Silat Buayo Lalok, Silat Harimau dan Silat Lintau.
Nama Silat Lintau sangat erat kaitannya dengan tempat dimana Silat itu lahir dan berkembang. Silat Lintau lahir di Kecamatan (Daerah/Jajahan) Lintau, Kabupaten Tanah Datar, Sumatera Barat, Indonesia.
Langkah-langkah dalam gerakan Silat Lintau ini merupakan langkah empat yang dipusakai sejak zaman berzaman. Menurut Mamak (Guru Silat) Bastian dari Lubuk Jantan, Lintau, dalam wawancara bersama Radio KabaluhakNanTuo, Batusangkar, Silat Lintau merupakan Silat yang paling tua yang lahir dari alam Melayu.
2. Perkembangan Silat Lintau
Pendekar Talib bertanggungjawab mengajarkan Silat Lintau di Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak. Murid beliau terdiri dari orang kaya dan disegani masyarakat waktu itu. Silat ini diperturunkan beliau antara lainnya kepada Kulup Mat Deros dan kemudiannya kepada Tok Ki Baharom, Ahmad bin Rashid dan Dr. Kamal Shah. (Lihat DISINI)
Dr. Kamal Shah mula menetap di Kelantan pada tahun 1987 dan mula mengembangkan Silat Lintau di Jajahan Pasir Puteh, Kelantan pada bulan Disember, 1994 dibelakang rumah beliau di Jalan Pondok.
Dr. Kamal kemudian mengajar di SMK Tok Janggut pada tahun 1995 dan Silat Lintau terus dikembangkan ke SMK Sri Aman, SMK Dato Ismail dan SM Sains, Pasir Puteh.
3. Ciri Khas Silat Lintau
Silat Lintau yang diajar oleh Dr. Kamal Shah di Pasir Puteh adalah Silat Langkah Empat. Berbeza dengan Langkah Empat yang dikenali oleh ramai pesilat tanahair, langkah empat Silat Lintau adalah empat jenis langkah yang dikenali dengan nama dan mempunyai pola yang tersendiri.
Selain itu, Silat Lintau yang diajar di peringkat sekolah dan IPT merupakan Seni Beladiri yang berasaskan kepada langkah empat tersebut. Silat Lintau yang sebenar tidak diajarkan di sekolah dan IPT kerana mematuhi syarat yang dikenakan Kementerian kepada semua pertubuhan Silat di negara ini.
Untuk mempelajari Silat Lintau, seseorang itu dikehendaki melalui proses Mengisi Adat dimana dia dikehendaki membawa beberapa perkara kepada Guru dan mematuhi segala syarat yang dikenakan.
4. Nilai Budaya
Silat Lintau sebagai suatu seni beladiri yang tumbuh dan berkembang dengan subur di Jajahan Pasir Puteh ini jika di amati mengandungi nilai-nilai yang dapat dijadikan acuan dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai tersebut antaranya adalah kesihatan, disiplin, yakin diri, semangat kesukanan, berbuat baik, hormat menghormati, mencari kawan dan mendekatkan diri kepada Allah Rabbul Jalil.
Nilai kesihatan dapat dilihat dari gerakan langkah dan teknik-teknik yang diamalkan baik ketika berlatih mahupun ketika bertanding. Langkah-langkah Silat Lintau harus dilakukan sedemikian rupa agar otot-otot tubuh menjadi kuat selain dari melancarkan peredaran darah seseorang. Ini akan menjadikan seseorang itu sihat.
Disiplin adalah perlu ketika mempelajari Silat Lintau ini. Tanpa disiplin diri dan kepatuhan kepada peraturan Silat Lintau, pelatih Silat Lintau tidak akan dapat menguasai Langkah dan buah Silat dengan sempurna.
Mempelajari seni beladiri Silat Lintau sebagaimana seni beladiri lain, mempersiapkan diri untuk menghadapi kemungkinan yang tidak diundang, baik untuk keselamatan diri mahupun orang lain yang memerlukan pertolongannya. Dengan menguasai seni Silat Lintau seseorang akan menjadi yakin diri dan oleh itu tidak takut dengan gangguan atau ancaman dari pihak lain.
Untuk mengasah ilmu Silat Lintau ini, setiap murid akan melalui pertandingan sesama mereka dan ujian peningkatan tahap. Semangat kesukanan dan setiakawan perlu dizahirkan sewaktu ujian peningkatan tahap dan pertandingan diadakan.
Zahir Pesilat Mencari Kawan
Batin Pesilat Mencari Tuhan.
No comments:
Post a Comment