Sunday, 14 February 2016

Nilai Budaya Dalam Silat Lintau

Sekiranya orang ramai tahu nilai budaya yang terkandung dalam Silat Lintau, sudah tentu mereka akan menghantar anak mereka mempelajari Silat ini ~ Dr. Kamal Shah

Sebagai suatu seni beladiri yang tumbuh dan kembang dengan subur di Jajahan Pasir Puteh ini, Silat Lintau, jika di amati mengandungi nilai-nilai yang dapat dijadikan acuan dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai tersebut adalah:
  1. Disiplin 
  2. Sabar.
  3. Hormat.
  4. Yakin Diri
  5. Beradab.
  6. Bersemangat.
  7. Kependekaran.
  8. Integriti dan 
  9. Semangat Juang serta kesukanan yang tinggi.

DISIPLIN

Disiplin adalah perlu ketika mempelajari Silat Lintau ini. Tanpa disiplin diri dan kepatuhan kepada peraturan Silat Lintau, pelatih Silat Lintau tidak akan dapat menguasai Langkah dan buah Silat dengan sempurna. Selain itu juga, disiplin yang diterapkan kepada pelajar akan menjadikan pelajar dapat menguruskan diri dengan baik, lebih fokus didalam pelajaran samada akademik mahupun Silat.

SABAR

Pelajar Silat Lintau dilatih supaya memiliki sifat sabar dan tidak terburu-buru dalam sesuatu perkara terutamanya yang membabitkan pergaduhan dan sebagainya. Pelajar di latih untuk menilai situasi dan suasana sesuatu sebelum bertindak dengan tenang dan sabar. Untuk menjadi seorang yang sabar bukan mudah, kerana itu, pelajar perlu dididik dengan baik sehingga mereka berjaya memiliki sifat sabar. Sifat sabar hanya dimiliki oleh mereka yang hadir hatinya kepada Allah (khusyu') sepertimana Firman Allah S.W.T. didalam Surah Al Baqarah ayat 45 yang berbunyi

2:45

Dan mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan solat, kerana sesungguhnya yang demikian itu (sabar dan solat) terlalu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu'

Murid yang berjaya memiliki sifat Sabar ini secara langsung akan menjadi seorang manusia yang khusyu' dan tawadhu' (merendah diri) sepanjang masa.

HORMAT

17:23

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Surah Al Israa' ayat 23.

Pelajar Silat Lintau ditanam dengan sifat ta'at kepada Allah dan menghormati ibubapa serta orang yang lebih tua dari mereka berdasarkan firman Allah diatas. Selain itu juga, pelajar Silat Lintau dididik supaya menghormati guru mereka dan menanam rasa kasih sayang sesama hamba Allah dimuka bumi ini. 

YAKIN DIRI

Mempelajari seni beladiri Silat Lintau sebagaimana seni beladiri lain, mempersiapkan diri untuk menghadapi kemungkinan yang tidak diundang, baik untuk keselamatan diri mahupun orang lain yang memerlukan pertolongannya. Dengan menguasai seni Silat Lintau seseorang akan menjadi yakin diri dan oleh itu tidak takut dengan gangguan atau ancaman dari pihak lain.

BERADAB

Orang Melayu terkenal sejak dahulu sebagai orang yang mempunyai adab dan sopan santun yang baik. Sifat orang Melayu ini disegani oleh bangsa lain didunia. Pelajar yang mempelajari Silat Lintau dididik dan dibentuk dengan adab dan adat Melayu Muslim yang terpuji.

BERSEMANGAT

Setiap pelajar diberi motivasi tinggi supaya sentiasa bersemangat menuntut ilmu, baik ilmu akademik mahupun ilmu Silat. Melalui siri motivasi, kursus yang dianjurkan oleh Akademi Lintau, pelajar akan dilihat sebagai seorang yang rajin dan sentiasa berusaha meningkatkan diri dalam bidang yang mereka ikuti.

KEPENDEKARAN

Pendekar atau Pandeka (bhs. Minangkabau) membawa maksud Pandai Akal. Pelajar dilatih melalui kursus-kursus anjuran Akademi Lintau supaya menggunakan akal dan fikiran mereka dengan bijaksana agar dapat menghindar diri dari berbagai bentuk ancaman minda dan jiwa yang terdapat pada hari ini.

INTEGRITI

Tidak ada satu perkataan yang dapat menjelaskan integriti. Integriti adalah gabungan keikhlasan, amanah, ketelusan, jati diri, kepercayaan, memiliki dan mengamalkan prinsip yang benar serta menegakkan kebenaran.

Pelajar dibentuk didalam gelanggang dan melalui kursus-kursus yang diadakan supaya menjadi seorang yang mempunyai integriti.

SEMANGAT JUANG DAN KESUKANAN

Setiap pelajar akan melalui tahap-tahap dalam Silat Lintau bermula dari Tahap 1 hingga Tahap 5. Kenaikan tahap adalah melalui ujian penilaian (grading) yang dilakukan setiap 3 atau 6 bulan sekali. Semangat juang dan kesukanan yang diterap sewaktu latihan dan akan dinilai setiap kali ujian peningkatan dilakukan.

Zahir Pesilat Mencari Kawan
Batin Pesilat Mencari Tuhan.

No comments:

Post a Comment