Sunday, 23 February 2014

SILAT BUKAN SEBARANG ILMU



 "Engkau tak akan tahu hendak menuju ke mana, apabila kamu tidak tahu datang dari mana" (John F. Kennedy).

 
PRAKATA

Artikel ini ditulis bagi menggambarkan Silat Lintau yang diajar di Pasir Puteh, Kelantan oleh Ybrs. Dr. Kamal Shah, Pandeka Sutan Rajo Sati, Presiden dan Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Lintau Kelantan (PERSILEK).


APA ITU SILAT
 
Silat seringkali disebut sebagai Ilmu Beladiri atau Ilmu Mempertahankan Diri. Ianya juga disebut sebagai 'permainan' dan salah satu daripada budaya bangsa Melayu Nusantara.

Silat juga dilihat sebagai ilmu yang membawa kemusnahan, permusuhan dan sesuatu yang negatif. Ini kerana ada diantara orang yang belajar Silat menyalahgunakan Ilmu Silat yang dipelajari dari gurunya.

Ramai yang tidak tahu apa itu sebenarnya Silat. Dari mana asal kata Silat, dan apakah isi kandungan yang terdapat dalam Ilmu Silat itu sendiri.

Umum mengetahui bahawa bahasa Melayu merupakan pinjaman dari bahasa-bahasa asing seperti bahasa Cina, India, Arab, Parsi dan lain-lain. Justeru satu kajian terperinci perlu dilakukan untuk mengetahui asal perkataan Silat dan pengertian disebalik nama yang diberikan kepada Ilmu Beladiri ini.

Begitu juga dengan ungkapan Beladiri atau Mempertahankan Diri. Bila disebut 'diri' maka disitu terdapat pengertian yang tersendiri yang perlu dikaji dan dikenali oleh setiap orang yang menuntut Ilmu Silat.

Asal kata Silat

Ada yang mengatakan bahawa perkatan Silat berasal dari kata 'silek' (Minangkabau) yang bermaksud Si Liek atau Si Liat.

Perkataan Silat sebenarnya bukan berasal dari bahasa Melayu atau Minangkabau seperti yang dikatakan oleh kebanyakan orang. Perkataan Silat berasal dari bahasa Arab dan mempunyai akar kata ASALA yang membawa maksud 'sesuatu yang mendekatkan'

Silat mengikut kajian saya berkaitan rapat dengan Tawassul dan Wasilah. Ini kerana didalam Ilmu Silat, penuntut di didik dan diajar untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT dan tidak bergantung kepada selain Allah.


وَتَوََّسَلَ ِالَى َرّبِهِ ِبَوِسْيَلهٍ
"dia berwasilah yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah"

Dalam 'al-Misbah' disebutkan

وسيلت الى الله با لعمل

ertinya "Aku berwasilah (mendekatkan diri) kepada Allah dengan amal"
  

اَسََلَ dari bab وَعَدَ ertinya رَغيِْتُ dan تَقَرَّْتُ

maksudnya "Saya suka dan saya mendekatkan diri"

Dari kata dasar itu, pecah menjadi kata الوسيله iaitu هِىَ ماَ يتَقَّربُ بِهِ اِلَى الشَّيءِ - sesuatu yang didekatkan kepada sesuatu.


Silat atau سيلت dapat diertikan sebagai 'suatu perbuatan atau amal yang mendekatkan diri kepada Allah'

Sebab itu, kita sering diberitahu dan diajar oleh guru2 silat yang wara' dan mempunyai ilmu agama yang tinggi supaya berusaha untuk mendampingkan diri dengan ulama', dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah.

Itulah pengertian Silat (سيلت ) pada pendapat saya. Pembaca tidak semestinya bersetuju dengan pendapat saya ini dan bukan tujuan saya untuk membuat anda setuju.

Mempertahankan Diri

Silat juga dikatakan sebagai Ilmu Mempertahankan Diri. Soalnya, adakah kita perlu mempertahankan diri setiap masa? Jika tidak maka apakah perlunya mempelajari seni beladiri ini. Kalau jawapannya perlu, apakah gunanya Silat dalam kehidupan seharian, untuk mempertahankan diri dari apa dan sebagainya.

Adakah ilmu Silat itu hanya untuk mempertahankan diri dari serangan musuh seperti perompak, peragut dan sebagainya atau adakah ianya lebih dari itu? Untuk menjawab persoalan ini maka marilah kita melihat dahulu kepada apa yang dimaksudkan dengan diri itu sendiri.

Diri manusia terdiri dari trimurti seperti berikut:


·         Diri Fizikal

·         Diri Mental

·         Diri Spiritual

Ketiga-tiga diri ini semuanya harus mempunyai kekuatan tersendiri, guna untuk mempertahankan diri dari serangan musuh yang mendatang dalam bentuk yang bersesuaian dengan diri itu sendiri seperti:


·         Serangan Fizikal

·         Serangan Minda

·         Serangan Spiritual



Bagi menangkis serangan yang berbentuk fizikal maka seseorang itu perlu dilatih dengan ilmu yang tertentu yang dapat digunakan untuk menghadapi musuh. Untuk menangkis serangan terhadap pemikiran atau minda maka umat Islam perlu dibekalkan dengan Ilmu agama yang secukupnya untuk menangkis segala serangan yang datang dalam berbagai bentuk. Serangan terhadap minda ini berlaku setiap hari keatas diri kita samada kita sedari atau tidak. Antara sumber serangan ini ialah rancangan Radio, Televisyen, VCD, Internet dan talipon bimbit.

Serangan pada tahap yang lebih tinggi ialah serangan terhadap spiritual yang mengancam manusia hingga sampai ke peringkat murtad dan bunuh diri. Serangan spiritual ini pula datang dalam berbagai bentuk juga dan biasanya dikaitkan dengan:


·         Serangan langsung dari Syaitan dan Jin

·         Serangan langsung/tidak langsung berupa ilmu hitam

·         Serangan minda iaitu melalui buah fikiran dan

·         Serangan terhadap diri batin yang boleh melumpuhkan dan mematikan manusia

Kesemua bentuk serangan tersebut amat berbahaya dan umat manusia seluruhnya diancam setiap hari dengan serangan spiritual ini. Ini adalah kerana Syaitan yang direjam telah bersumpah dan berjanji untuk menguji anak Adam hingga mereka berjaya disesatkan olehnya. Serangan inilah yang sentiasa diawasi oleh pendekar yang bijak, yang mempunyai ilmu kependekaran yang sebenar.

Kesimpulannya Ilmu Silat merupakan ilmu yang paling penting dalam kehidupan individu Muslim Melayu kerana selain daripada budaya Melayu, Silat juga adalah benteng atau pendinding diri dari segala jenis kejahatan yang terdapat didunia ini. Belajarlah Silat dan hampirkan diri kepada Allah.

No comments:

Post a Comment