Pertubuhan Seni Silat Lintau Pasir Puteh ditubuhkan 10
(sepuluh) tahun selepas ianya diperkenalkan di Pasir Puteh, Kelantan.
Silat Lintau mula dikembangkan di Pasir Puteh, Kelantan oleh Dr(H)
Kamal Shah bin Abdullah Zawawi di Sekolah Menengah Tok Janggut (kini
SMK Tok Janggut) pada tahun 1995 dan setelah mendapat restu dari guru
beliau pada tahun 2000 maka akhirnya pada tahun 2005 tertubuhlah
Pertubuhan Seni Silat Lintau Pasir Puteh, Kelantan (PSSLPP).
Setelah
24 tahun mengajar Seni Silat Lintau dibawah PSSLPP maka pada 02 Oktober
2019, PSSLPP telah berjaya ditukar namanya kepada Pertubuhan Seni Silat Lintau Malaysia (PSSLM). Pertubuhan baharu ini merupakan kesinambungan kepada perjuangan PSSLPP pimpinan Dr(H) Kamal Shah untuk melestarikan Silat Lintau ini ke seluruh Malaysia dan ke peringkat antarabangsa.
Silat
Lintau mula dikembangkan di Malaysia oleh Almarhum Pendekar Talib yang
berasal dari Tepi Selo, Lintau Buo Utara, Sumatera Barat, Indonesia.
Pendekar Talib mula mengajarkan silat ini di Padang Rengas, Perak.
Silat ini terus berkembang sehingga kini, dikembangkan oleh Dr(H)
Kamal Shah bersama barisan jurulatih beliau. PSSLM kini semakin aktif
dengan penubuhan cawangan-cawangan di seluruh negara. In Sha Allah,
PSSLM akan terus berkembang ke negeri-negeri di luar Kelantan.
Sehingga kini, lebih dari lima ribu orang telah mendapat ilmu Silat Lintau dari Dr(H)
Kamal Shah di Pasir Puteh. Maka sewajarnyalah pertubuhan ini di naikkan
taraf dari peringkat daerah kepada peringkat kebangsaan pula. Perubahan
ini perlu kerana ramainya penuntut yang belajar Silat Lintau ini sudah
pun berhijrah ke luar Kelantan dan ada yang ingin membantu
mengembangkan Silat Lintau ditempat mereka. Semoga Silat Lintau terus
berkembang dengan bantuan anak-anak didik Dr(H) Kamal Shah. Sekian.
No comments:
Post a Comment