Assalamu'alaikum. Sudah lama saya tidak mengunjungi dan meng'update' laman ini. Bukan kerana sibuk tapi kerana memang tak sempat nak menulis. Apapun, dikesempatan ini saya ingin membawa pembaca sekelian melihat perkembangan Silat Lintau yang berasal dari Kecamatan Lintau Buo, Sumatera Barat, Indonesia sejak ianya dikembangkan di Pasir Puteh hingga sekarang.
Seperti yang para pembaca ketahui, Silat Lintau mula dikembangkan di negeri Kelantan oleh Dr. Kamal Shah pada tahun bulan Disember, 1994, bertempat di belakang rumah sewa beliau di Jalan Pondok, Pasir Puteh.
1995 Dr. Kamal mulai mengajar Silat Lintau di SM Tok Janggut dengan murid seramai 40 orang. Oleh kerana Dr. Kamal tidak mempunyai sijil pertubuhan kerana tidak berdaftar dengan pendaftar pertubuhan maka beliau telah pun berpakat dengan sebuah pertubuhan lain iaitu Pertubuhan Silat Pendekar Ulung yang dipimpin oleh Almarhum Suhaimi.
Perlu di ingat bahawa Dr. Kamal bukan murid Suhaimi dan tidak pernah belajar Silat Pendekar Ulung darinya. Dr. Kamal hanya memiliki ilmu Silat Lintau yang dipelajarinya dari gurunya Ahmad bin Rashid dari Simpang Lawin, Kuala Kangsar, Perak.
Pada tahun 1996, pihak sekolah meminta Dr. Kamal mencari Pertubuhan lain untuk bernaung. Ini adalah kerana pihak sekolah mempunyai masalah komunikasi dengan Almarhum Suhaimi. Dr. Kamal kemudian berjumpa dengan Cikgu Din dari Pertubuhan Seni Gayung Fatani Kelantan dan Cikgu Din bersetuju Silat Lintau bernaung dibawah Pertubuhan Seni Gayung Fatani Kelantan sehingga tiba waktu Silat Lintau mampu menubuhkan Pertubuhannya sendiri dibawah ROS (Registrar Of Societies/ Pendaftar Pertubuhan).
Pada tahun 2005 Pertubuhan Seni Silat Lintau Pasir Puteh, Kelantan didaftarkan dengan ROS dan ia mula bergerak sendiri tanpa perlu bernaung dengan mana-mana pertubuhan lain.
Tahun tahun selepas ianya didaftarkan amat memberangsangkan. Pertubuhan bergerak aktif dengan bilangan murid bertambah. Bilangan kelas juga bertambah. Bermula dari SM Tok Janggut (kini SMK) Silat Lintau berkembang ke SMK Sri Aman, kemudian ke SMK Dato Ismail dan SM Sains Pasir Puteh. Bilangan murid hampir mencecah 200 orang pada tahun 2013.
Pengalaman menyertai pertandingan peringkat sekolah sejak tahun 1995 hingga tahun 2007 telah menyebabkan Dr. Kamal mengarahkan Pertubuhan supaya tidak lagi menyertai pertandingan, baik diperingkat Jajahan/Daerah ataupun Negeri. Ini adalah kerana terdapat unsur ketidakadilan pada pengadilan terutama dalam pertandingan Silat Olahraga dimana pelajar yang menyertai pertandingan, walaupun menang secara hakiki tetapi di isytiharkan kalah oleh juri dan pengadil. Keputusan menarik diri dari menyertai sebarang pertandingan berpunca dari keputusan juri yang terang-terang salah pada pengadilan melibatkan Che Haikal dari SMK Dato Ismail yang mana, setelah Wasit mengarahkan berhenti maka Haikal kembali ke posisi sedia manakala lawannya menolak Haikal menyebabkan Haikal terjatuh. Wasit yang telah mengeluarkan aba-aba HENTI telah memberi keputusan JATUH dan setelah Dr. Kamal berteriak memberitahu "kan tadi dah kata HENTI, kenapa bagi keputusan jatuh pulak" maka Ketua Pengadilan meminta Wasit memanggil juri. Juri memberikan keputusan yang sama iaitu JATUH, kepada Haikal. Dr. Kamal yang juga merupakan seorang Wasit terus bertindak dengan keputusan untuk tidak lagi menyertai pertandingan peringkat sekolah selepas itu. Tindakan Dr. Kamal itu berdasarkan kepada pengalaman dimana setiap kali masuk bertanding maka Silat Lintau lah yang akan dimangsakan. Walaupun menang tapi tetap diputuskan kalah. Ini bukan fitnah. Ini adalah REALITI yang terpaksa kami hadapi bertahun lamanya. 2007 tahun paling pahit buat Silat Lintau.
Setelah peristiwa yang memilukan itu, Dr. Kamal menyusun gerak untuk bertemu dengan rakan-rakan dari pelbagai perguruan lain untuk berbincang mengenai nasib dan masa depan Silat di negeri Kelantan.
Hasil daripada perbincangan antara Dr. Kamal dengan Pok Jab (Almarhum Rajab bin Samat) dari Gayong Tiga Kalimah, Abg In (Shafie Husin) Gayungman Segerak Kelantan, Mohd Zain Silat Sekebun, Abg Zi (Fauzi Abdul Aziz) Teralak Tunggal Kelantan maka suatu perancangan dibuat untuk menubuhkan satu badan gabungan silat yang baharu. Kesemua ahli telah sepakat mengajak beberapa pertubuhan lain termasuklah Gayungman Gerakan Satu, Pasir Puteh, Gayung Maarifat, Gayong Warisan dan Pesan Sakti Kelantan. Satu mesyuarat telah diadakan dan semua yang hadir bersetuju untuk menubuhkan sebuah gabungan yang diberi nama PERTUBUHAN GABUNGAN SENI SILAT WARISAN NUSANTARA KELANTAN (WARIS). Nama tersebut telah dipilih oleh Dr. Kamal dan dipersetujui ramai. (Kisah WARIS dalam posting yang lain).
Sekian dahulu untuk kali ini. Bertemu lagi di posting berikutnya. Assalamu'alaikum.
No comments:
Post a Comment