Wednesday, 21 August 2013

SYAHADAH

Syahadah  adalah penyaksian, keyakinan dan lafaz  bagi yang mampu atau isyarat bagi yang lemah untuk lafaz.. Perkara ini boleh  dianggap sebagai rukun  Syahadah . Ini dinyatakan secara jelas dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam hadis yang masyhur bahawa Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang Islam:
Mafhumnya: "Wahai! Muhammad, khabarkanlah kepadaku tentang Islam. Maka Rasulullah telah menjawab: Islam (adalah) engkau mengakui bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH dan bahawa Muhammad itu adalah pesuruh ALLAH..”
(Hadis riwayat Imam Muslim, kitab al-Iman, hadis no. 9)

Berdasarkan hadis ini, lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah: 
أَشْهَدُ أَن لاََّ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللهِ
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan ALLAH dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh ALLAH.”

Sesiapa yang ingin memeluk agama Islam, terlebih dahulu dia perlu melafazkan Dua Kalimah Syahadah ini. Sekiranya tidak, maka pengakuannya sebagai seorang muslim adalah tidak sah menurut pendapat para ulama. Bagi orang yang tidak mampu untuk melafazkannya kerana bisu dan sebagainya, maka memadai dengan tulisan (kitabah) atau dengan cara isyarat yang menunjukkan dia menerima serta mengakui kebenaran Dua Kalimah Syahadah ini. Sebagaimana yang telah disebutkan, dari segi bahasa, 'syahadah' dapat dizahirkan melalui kata-kata atau perbuatan.

Ianya disebut sebagai 'Dua Kalimah Syahadah' kerana pada lafaznya terdapat dua pengakuan atau dua penyaksian. Iaitu penyaksian pertama: 
أَشْهَدُ أَن لاََّ إِلَهَ إِلاَّ الله
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan ALLAH

dan penyaksian kedua:
وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللهِ
"..dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh ALLAH.”

Kedua-dua pengakuan dan penyaksian ini saling terikat di antara satu sama lain. Tidak sah syahadah seseorang muslim sekiranya dia hanya menerima penyaksian yang pertama (pengakuan bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH) lalu ia menafikan penyaksian yang kedua iaitu pengakuan bahawa Muhammad adalah Pesuruh ALLAH. Kerana Nabi Muhammad adalah rasul terakhir yang telah diutuskan ALLAH Azza wa Jalla untuk menyampaikan risalah tauhid supaya umat manusia seluruhnya menerima lalu menyatakan bahawa TUHAN yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya hanyalah ALLAH S.W.T. Firman ALLAH:
Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh ALLAH kepada kamu semuanya, (diutus oleh ALLAH) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada ALLAH dan RasulNya, Nabi yang Ummi (buta huruf) yang beriman kepada ALLAH dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk". (Surah al-A'raf: 158)

Begitulah sebaliknya, tidak sah syahadah seseorang itu sekiranya dia hanya menerima penyaksian yang kedua tetapi tidak mengakui penyaksian yang pertama. Menafikan salah satu daripada keduanya bererti menolak kedua-duanya sekali.

Sekiranya kita menolak pengakuan yang pertama, bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH lalu kita menyerupai penganut agama Kristian yang mengatakan tuhan itu tiga (trinity) atau penganut agama-agama lain yang mempercayai tuhan yang berbilang-bilang (polytheisme) atau golongan yang menolak kewujudan tuhan sama sekali (atheisme) . Manakala sekiranya kita hanya menerima ketuhanan ALLAH akan tetapi menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, maka seakan-akan kita menjadi seperti golongan Yahudi yang beriman kepada Tuhan Yang Satu –iaitu TUHAN kepada Nabi Musa a.s (yang disebut sebagai Eloah atau Elohim) akan tetapi yang mereka menolak kenabian Nabi Isa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w sekali gus. Firman ALLAH S.W.T:

 Maksudnya: "Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari TUHAN-nya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada ALLAH, dan Malaikat-malaikat-NYA, dan Kitab-kitab-NYA, dan Rasul-rasul-NYA. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari kalangan Rasul-rasul-NYA". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat, (kami pohonkan) keampunan-MU wahai TUHAN kami, dan kepada-MU jualah tempat kembali". (Surah al-Baqarah: 285)

Dua Kalimah Syahadah adalah bergandingan dari segi makna dan tuntutannya. Kita akan menjelaskan makna dan pengertian kedua-dua lafaz kalimah syahadah ini satu persatu dalam terbitan AL-QALAM yang seterusnya. Insya-ALLAH.

Ini kerana ramai orang yang mengaku diri mereka sebagai muslim, akan tetapi mereka tidak memahami dengan sebenar-benarnya maksud dan tuntutan daripada pengakuan Dua Kalimah Syahadah ini. Mereka bukan sahaja tidak menunaikan kewajipan dan kefarduan dalam Islam, malah lebih malang lagi mereka mungkin melakukan suatu perbuatan atau mengucapkan suatu perkataan yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah itu lalu menjadi kafir. Maka itu, mereka hanyalah muslim pada nama sahaja akan tetapi dari segi hakikatnya mereka tidak jauh berbeza dengan orang yang tidak menerima pengakuan Dua Kalimah Syahadah ini.
Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment