Thursday 25 January 2024

 

Sukan tempur kini diklasifikasi sebagai aktiviti sukan di sekolah - Hannah


Hannah Yeoh berkata klasifikasi itu bagi memastikan atlet sukan tempur di sekolah mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576). -Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Mengklasifikasikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan berbanding aktiviti badan beruniform di sekolah sebelum ini, antara tujuh perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata klasifikasi itu bagi memastikan atlet sukan tempur di sekolah mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
"Sukan tempur yang kita maksudkan adalah seperti taekwondo, wusyu. Kita hendak penyelarasan berdasarkan Akta Pembangunan Sukan, aktiviti sekarang sudah meningkat kepada 103 jenis sukan. Kita hendak koordinasi di peringkat sekolah juga, semua ini dinamakan sebagai sukan.
"Bukan sahaja sukan tempur, saya bagi contoh e-sukan, kategori kita sudah ada, definisi sukan ikut akta dan kita hendak pastikan penyelarasan berlaku di peringkat sekolah," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Mesyuarat HLC susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Hannah berkata antara ketetapan yang telah dipersetujui oleh HLC ialah menggalakkan pewujudan kelab renang dan olahraga di sekolah-sekolah berpotensi bagi menarik minat pelajar menceburi bidang sukan berkenaan di samping mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.
Ketetapan ketiga ialah mewujudkan dan menggiatkan pertandingan kompetitif tahunan peringkat sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) merentasi pelbagai sektor pendidikan termasuk sekolah swasta, tahfiz dan lain-lain melalui Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Beliau turut memaklumkan Biasiswa Sukan Persekutuan KBS bernilai RM2 juta kini diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menguruskan skop, terma dan peruntukan biasiswa itu.
"Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan mengaktifkan semula pelaksanaan program promosi dan aktiviti Rakan Aktif (teras Rakan Muda) di sekolah.
"Keenam ialah peranan Institut Sukan Negara yang akan membantu dalam memperluas, menyelaras serta menganjurkan program pendidikan dan pelesenan kejurulatihan kepada guru dan jurulatih di bawah KPM dan KPT," katanya.
Ketetapan terakhir yang dipersetujui ialah permohonan Dana Sukan Komuniti sebanyak RM20 juta yang dikendalikan KBS akan diperluas kepada kelab dan persatuan di bawah KPM dan KPT untuk melaksanakan agenda nasional sihat di peringkat komuniti.
Hannah berkata kesemua tujuh perkara itu dipersetujui sebagai langkah pertama untuk membawa pembaharuan dalam mencungkil bakat-bakat baharu sebagai usaha memperbaiki prestasi sukan di negara ini terutamanya dalam sukan tempur, olahraga dan renang seperti yang diputuskan JKPS sebelum ini.
-- BERNAMA

Wednesday 22 February 2023

Kelas Silat Lintau 2023

Kelas Silat Lintau di Gelanggang Utama PSSLM sudah beroperasi sejak tahun 2022 lagi tapi ia tidak di uar-uarkan kepada umum. Bagi sesi 2023 ini in sha Allah kita akan kembali mengajar di sekolah. 











Wednesday 21 September 2022

PROGRAM JELAJAH KEBUDAYAAN DAN KESENIAN PASIR PUTEH
Peringkat DUN Limbongan

Program tersebut telah diadakan di Arena Square, Pasir Puteh, Kelantan pada 10hb September 2022.

Program yang dianjurkan oleh pejabat DUN Limbongan dan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu telah disertai oleh budayawan dan penggiat seni didalam DUN Limbongan.

Berbagai acara diadakan termasuklah persembahan Dikir Barat, Seni Silat dari Banggol Pa' Esah, Silat Lintau dan kumpulan nasyid.

Pada program itu juga, DUN Limbongan telah mengiktiraf Dr. Kamal sebagai TOKOH SENI SILAT PASIR PUTEH 

Dr Kamal bersama sijil pengiktirafan sebagai tokoh seni silat Pasir Puteh

Kami mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YB Ust. 

Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah (ADUN Limbongan) dan YB Dr. Nik Zawawi (Ahli Parlimen Pasir Puteh) diatas penganugerahan ini.



Friday 7 February 2020

SEKILAS PANDANG PSSLM

25 tahun yang lalu, seorang Doktor Homeopathy yang membuka Klinik Perubatan Homeopathy di Jalan Nara, Pasir Puteh, Kelantan, Dr(H) Kamal Shah Abdullah Zawawi, telah membuka gelanggang Seni Silat Lintau (yang pada masa itu belum berdaftar sebagai pertubuhan rasmi, seperti kebanyakan silat lain) di SEMENTOJA (Sekolah Menengah Tok Janggut, Pasir Puteh) dengan pelajar silat seramai 40 orang. Gelanggang SMK Tok Janggut adalah tapak permulaan Seni Silat Lintau ini berkembang di Kelantan.


Berkat kegigihan beliau dan sokongan dari pesilat dari Pasir Puteh, beliau telah mendaftarkan silat ini dengan nama Pertubuhan Seni Silat Lintau Pasir Puteh pada bulan Mei 2005. Pertubuhan ini terus berkembang sehinggalah pada 02 Oktober 2019 nama pertubuhan telah diubah kepada Pertubuhan Seni Silat Lintau Malaysia dengan ahli-ahli yang terdapat di Kelantan, Pahang, Johor, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sabah.

Keahlian dibawah PSSLM terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Ahli Akademi
  2. Ahli Adat

Pelajaran Seni Silat Lintau yang diajarkan melalui Akademi Seni Silat Lintau adalah pelajaran pencak silat yang boleh dipertunjukkan, boleh dipertandingkan dan boleh dipelajari oleh semua kaum manakala pelajaran yang diajar kepada Ahli Adat adalah pelajaran Ilmu Silat yang sebenar yang hanya di ajar kepada orang Islam sahaja. Ilmu ahli adat merupakan ilmu yang amat merbahaya dan tidak diajarkan kepada pelajar sekolah, tidak dibuat pertunjukan dan tidak boleh dipertandingkan.

Jurulatih juga terbahagi kepada dua iaitu:
 

  1. Jurulatih Akademi
  2. Jurulatih Adat

Jurulatih Akademi adalah mereka yang hanya memiliki ilmu silat mengikut sukatan pelajaran yang telah didaftarkan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia serta JKKN.

Jurulatih Adat pula adalah mereka yang memiliki ilmu yang sama seperti Jurulatih Akademi dengan tambahan ilmu yang dikhususkan untuk ahli adat sahaja.

Begitulah serba ringkas mengenai PSSLM dan pelajaran yang terdapat didalamnya.


Disediakan oleh Setiausaha Agong PSSLM

Sunday 15 December 2019

KURSUS JURULATIH DAN PENERIMAAN MURID BAHARU

Satu kursus jurulatih tahap satu dan majlis penerimaan murid Seni Silat Lintau telah diadakan di Keningau, Sabah bermula dari 12 hingga 20 haribulan November 2019. Kursus dijalankan di rumah Cikgu Musah yang terletak di Taman Adika 11, Keningau.

Kursus tersebut disertai oleh tujuh orang Guru dari Nabawan dan Tambunan dan seorang pelajar dari Nabawan.

Peserta kursus di ajar sukatan pelajaran yang disusun oleh Ybrs Dr (H) Kamal Shah selaku Guru Utama PSSLM.

Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Cikgu Moksin daripada PESAKA Keningau yang turut hadir pada malam mandi adat.

















Kursus selama 7 malam itu berjaya melahirkan 4 orang Jurulatih yang akan mengajar di sekolah-sekolah di Nabawan.

















Wednesday 4 December 2019

FESTIVAL SENI SILAT PANTAI TIMUR KELANTAN 2019

Festival Seni Silat Pantai Timur WARIS 2019 merupakan festival kelapan yang diadakan oleh WARIS yang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim.

Festival pada kali ini disertai oleh serami 282 orang peserta dan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Gabungan Seni Silat Warisan Nusantara Kelantan (WARIS)
Peserta yang hadir terdiri daripada Pertubuhan yang bergabung didalam WARIS, PERSIMA dari Terengganu, dan Pertubuhan Seni Silat Sangkar Rewana dari Pahang dan FPSTI dari Selangor. 
Festival dimulakan dengan Perarakan pasukan silat yang menyertai Festival ini bermula dari Gelanggang Seni melalui jalan Mahmood, Jalan Hospital hingga bulatan jam besar Kota Bharu, Jalan Sultan Ibrahim dan kembali semula ke Gelanggang Seni melalui Jalan Perdana.
Di Festival itu juga Guru PSSLM Dr Kamal berkesempatan bertemu dengan Cikgu Mazlan Hashim, seorang penggiat seni Silat dan penulis tetap di majalah Seni Beladiri serta pemimpin Pertubuhan Silat Sangkar Rewana yang berasal dari Pahang Darul Makmur.
PERSIMA
Festival kali ini menyaksikan persembahan Seni Silat daripada 9 badan gabungan WARIS, dua kumpulan dari PERSIMA, Terengganu, dua pasukan daripada Pahang dan satu kumpulan daripada Selangor.

PSS Pesan Sakti

PSS Spelek

SETANJAK

PSS Teralak Tunggal Kelantan



Peserta dari PSSLM yang menyertai Festival


Tuesday 22 October 2019

PERTUBUHAN SENI SILAT LINTAU MALAYSIA

Pertubuhan Seni Silat Lintau Pasir Puteh ditubuhkan 10 (sepuluh) tahun selepas ianya diperkenalkan di Pasir Puteh, Kelantan. Silat Lintau mula dikembangkan di Pasir Puteh, Kelantan oleh Dr(H) Kamal Shah bin Abdullah Zawawi di Sekolah Menengah Tok Janggut (kini SMK Tok Janggut) pada tahun 1995 dan setelah mendapat restu dari guru beliau pada tahun 2000 maka akhirnya pada tahun 2005 tertubuhlah Pertubuhan Seni Silat Lintau Pasir Puteh, Kelantan (PSSLPP).

Setelah 24 tahun mengajar Seni Silat Lintau dibawah PSSLPP maka pada 02 Oktober 2019, PSSLPP telah berjaya ditukar namanya kepada Pertubuhan Seni Silat Lintau Malaysia (PSSLM). Pertubuhan baharu ini merupakan kesinambungan kepada perjuangan PSSLPP pimpinan
Dr(H) Kamal Shah untuk melestarikan Silat Lintau ini ke seluruh Malaysia dan ke peringkat antarabangsa.

Silat Lintau mula dikembangkan di Malaysia oleh Almarhum Pendekar Talib yang berasal dari Tepi Selo, Lintau Buo Utara, Sumatera Barat, Indonesia. Pendekar Talib mula mengajarkan silat ini di Padang Rengas, Perak. Silat ini terus berkembang sehingga kini, dikembangkan oleh 
Dr(H) Kamal Shah bersama barisan jurulatih beliau. PSSLM kini semakin aktif dengan penubuhan cawangan-cawangan di seluruh negara. In Sha Allah, PSSLM akan terus berkembang ke negeri-negeri di luar Kelantan.

Sehingga kini, lebih dari lima ribu orang telah mendapat ilmu Silat Lintau dari
Dr(H) Kamal Shah di Pasir Puteh. Maka sewajarnyalah pertubuhan ini di naikkan taraf dari peringkat daerah kepada peringkat kebangsaan pula. Perubahan ini perlu kerana ramainya penuntut yang belajar Silat Lintau ini sudah pun berhijrah ke luar Kelantan dan ada yang ingin membantu mengembangkan Silat Lintau ditempat mereka. Semoga Silat Lintau terus berkembang dengan bantuan anak-anak didik Dr(H) Kamal Shah. Sekian.