Wednesday, 10 September 2025

HUKUM BELAJAR SILAT ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

SOALAN:

Apakah hukum asal bersilat antara lelaki dan perempuan tanpa lapik?

JAWAPAN :

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Sebagai mukadimah, kami kemukakan dalil berkaitan larangan bersentuhan antara lelaki dan perempuan. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لأَن يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram).

Riwayat Al-Thabrani, Mu’jam Al-Kabir (20/211)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan pengharaman bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadis menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Khattabi Rahimahullah:

الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ

MaksudnyaSesuatu khitab (ayat atau kenyataan) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga adalah khitab kepada orang perempuan dalam masa yang sama, melainkan pada keadaan-keadaan yang tertentu.

Rujuk Mirqaat Al-Mafatih, Mulla ‘Ali Al-Qari (2/423).

Berbalik kepada soalan yang diajukan berkenaan silat antara lelaki dan perempuan sehingga bersentuhan kulit adalah ditegah berdasarkan hadis yang telah dijelaskan. Walaubagaimanapun terdapat pengecualian pergaulan antara lelaki dan perempuan sehingga bersentuhan kulit hanya pada situasi dan tujuan tertentu. [Rujuk Karim Zaidan, al-Mufassal fi ahkam Mar’ah wa bait al-Muslimin (3:426)]. Oleh itu, kami rungkaikan persoalan tersebut berkenaan silat antara lelaki dan perempuan tanpa berlapik dengan menyatakan beberapa perkara penting berikut:

  • Silat antara lelaki dan perempuan tanpa berlapik bagi sesi latihan adalah tidak dibenarkan. Hal ini kerana situasi tersebut masih boleh memilih pihak lawan dalam kalangan sama jantina dan juga boleh diasingkan sesi latihan antara lelaki dan wanita.
  • Silat antara lelaki dan perempuan pada situasi getir ketika melawan musuh sehingga terpaksa bersentuhan kulit adalah perkara yang tidak boleh dielakkan. Darurat tersebut membolehkan perkara yang dilarang hanya pada situasi mempertahankan diri ketika nyawa diancam. Hal ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

MaksudnyaDarurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.

Walaubagaimanapun, persentuhan antara lelaki dan perempuan dibolehkan hanya atas alasan darurat pada kadar untuk menghilangkan bahaya sahaja. Sebagai contoh bersentuhan hanya pada waktu mempertahankan diri ketika nyawa diancam sahaja tanpa berlebih-lebihan. Situasi tersebut bertepatan dengan kaedah fiqhiah berikut:

الضَّرُورَاتُ تقّدر بقدرها

Maksudnya: Darurat diukur hanya pada kadarnya

Selain itu, Islam menetapkan garis panduan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti menutup aurat dengan sempurna, menjaga pandangan, tidak berkhalwat dan menjaga adab pertuturan. Sehubungan itu, terdapat batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan apatah lagi bersentuhan antara lelaki dan wanita tanpa tujuan yang mendesak. Bahkan pengecualian pergaulan antara lelaki dan perempuan hanya pada keperluan yang tidak bertentangan dengan syarak tanpa perlu bersentuhan seperti muamalah harta, penyaksian, urusan kerja dan keperluan lain yang tidak bertentangan syariat. [Rujuk Karim Zaidan al-Mufassal fi ahkam Mar’ah wa bait al-Muslimin (3:426)]

Penutup

Secara tuntasnya, pergaulan antara lelaki dan perempuan hanya pada keperluan disamping dituntut menjaga batas-batas pergaulan yang telah digariskan oleh syarak. Oleh yang demikian, umat Islam perlu memelihara diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang diharamkan, sebagaimana sabda Nabi SAW :

ما نَهَيْتُكُمْ عنْه فاجْتَنِبُوهُ، وَما أَمَرْتُكُمْ به فافْعَلُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya : “Apa yang aku larang kamu lakukan, hendaklah kamu jauhi dan apa yang aku perintahkan kepadamu, maka lakukanlah sesuai kemampuan kamu”

[HR Muslim (1337)]

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah S.W.T memberikan kefahaman yang baik dalam beragama. Ameen.


Thursday, 2 January 2025

DR KAMAL MENERIMA SIJIL KEHORMAT

Dengan Bismillah di awal kata. 


Alhamdulillah, pada 16hb Oktober 2024 saya telah menerima Anugerah Kehormat diatas sumbangan dan penglibatan selama 50 tahun dalam seni beladiri (Silat Lintau) Terima kasih kepada Seni Gayung Fatani Malaysia, UNESCO, UiTM, Universitas Nagari Padang, World Silat Federation, Seni Gayung Fatani Malaysia, PESONA, IMACSSS dan GSMACC diatas penganugerahan Certificate of Honorary On Outstanding Works Of Contribution To The World Of Martial Arts pada International Conference on Martial Arts yang telah berlangsung dari 14-16 Oktober 2024 bertempat di Mercure Living Hotel, Putrajaya.




Thursday, 25 January 2024

 

Sukan tempur kini diklasifikasi sebagai aktiviti sukan di sekolah - Hannah


Hannah Yeoh berkata klasifikasi itu bagi memastikan atlet sukan tempur di sekolah mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576). -Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Mengklasifikasikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan berbanding aktiviti badan beruniform di sekolah sebelum ini, antara tujuh perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata klasifikasi itu bagi memastikan atlet sukan tempur di sekolah mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
"Sukan tempur yang kita maksudkan adalah seperti taekwondo, wusyu. Kita hendak penyelarasan berdasarkan Akta Pembangunan Sukan, aktiviti sekarang sudah meningkat kepada 103 jenis sukan. Kita hendak koordinasi di peringkat sekolah juga, semua ini dinamakan sebagai sukan.
"Bukan sahaja sukan tempur, saya bagi contoh e-sukan, kategori kita sudah ada, definisi sukan ikut akta dan kita hendak pastikan penyelarasan berlaku di peringkat sekolah," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Mesyuarat HLC susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Hannah berkata antara ketetapan yang telah dipersetujui oleh HLC ialah menggalakkan pewujudan kelab renang dan olahraga di sekolah-sekolah berpotensi bagi menarik minat pelajar menceburi bidang sukan berkenaan di samping mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.
Ketetapan ketiga ialah mewujudkan dan menggiatkan pertandingan kompetitif tahunan peringkat sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) merentasi pelbagai sektor pendidikan termasuk sekolah swasta, tahfiz dan lain-lain melalui Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Beliau turut memaklumkan Biasiswa Sukan Persekutuan KBS bernilai RM2 juta kini diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menguruskan skop, terma dan peruntukan biasiswa itu.
"Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan mengaktifkan semula pelaksanaan program promosi dan aktiviti Rakan Aktif (teras Rakan Muda) di sekolah.
"Keenam ialah peranan Institut Sukan Negara yang akan membantu dalam memperluas, menyelaras serta menganjurkan program pendidikan dan pelesenan kejurulatihan kepada guru dan jurulatih di bawah KPM dan KPT," katanya.
Ketetapan terakhir yang dipersetujui ialah permohonan Dana Sukan Komuniti sebanyak RM20 juta yang dikendalikan KBS akan diperluas kepada kelab dan persatuan di bawah KPM dan KPT untuk melaksanakan agenda nasional sihat di peringkat komuniti.
Hannah berkata kesemua tujuh perkara itu dipersetujui sebagai langkah pertama untuk membawa pembaharuan dalam mencungkil bakat-bakat baharu sebagai usaha memperbaiki prestasi sukan di negara ini terutamanya dalam sukan tempur, olahraga dan renang seperti yang diputuskan JKPS sebelum ini.
-- BERNAMA

Wednesday, 22 February 2023

Kelas Silat Lintau 2023

Kelas Silat Lintau di Gelanggang Utama PSSLM sudah beroperasi sejak tahun 2022 lagi tapi ia tidak di uar-uarkan kepada umum. Bagi sesi 2023 ini in sha Allah kita akan kembali mengajar di sekolah. 











Wednesday, 21 September 2022

PROGRAM JELAJAH KEBUDAYAAN DAN KESENIAN PASIR PUTEH
Peringkat DUN Limbongan

Program tersebut telah diadakan di Arena Square, Pasir Puteh, Kelantan pada 10hb September 2022.

Program yang dianjurkan oleh pejabat DUN Limbongan dan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu telah disertai oleh budayawan dan penggiat seni didalam DUN Limbongan.

Berbagai acara diadakan termasuklah persembahan Dikir Barat, Seni Silat dari Banggol Pa' Esah, Silat Lintau dan kumpulan nasyid.

Pada program itu juga, DUN Limbongan telah mengiktiraf Dr. Kamal sebagai TOKOH SENI SILAT PASIR PUTEH 

Dr Kamal bersama sijil pengiktirafan sebagai tokoh seni silat Pasir Puteh

Kami mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YB Ust. 

Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah (ADUN Limbongan) dan YB Dr. Nik Zawawi (Ahli Parlimen Pasir Puteh) diatas penganugerahan ini.



Friday, 7 February 2020

SEKILAS PANDANG PSSLM

25 tahun yang lalu, seorang Doktor Homeopathy yang membuka Klinik Perubatan Homeopathy di Jalan Nara, Pasir Puteh, Kelantan, Dr(H) Kamal Shah Abdullah Zawawi, telah membuka gelanggang Seni Silat Lintau (yang pada masa itu belum berdaftar sebagai pertubuhan rasmi, seperti kebanyakan silat lain) di SEMENTOJA (Sekolah Menengah Tok Janggut, Pasir Puteh) dengan pelajar silat seramai 40 orang. Gelanggang SMK Tok Janggut adalah tapak permulaan Seni Silat Lintau ini berkembang di Kelantan.


Berkat kegigihan beliau dan sokongan dari pesilat dari Pasir Puteh, beliau telah mendaftarkan silat ini dengan nama Pertubuhan Seni Silat Lintau Pasir Puteh pada bulan Mei 2005. Pertubuhan ini terus berkembang sehinggalah pada 02 Oktober 2019 nama pertubuhan telah diubah kepada Pertubuhan Seni Silat Lintau Malaysia dengan ahli-ahli yang terdapat di Kelantan, Pahang, Johor, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sabah.

Keahlian dibawah PSSLM terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Ahli Akademi
  2. Ahli Adat

Pelajaran Seni Silat Lintau yang diajarkan melalui Akademi Seni Silat Lintau adalah pelajaran pencak silat yang boleh dipertunjukkan, boleh dipertandingkan dan boleh dipelajari oleh semua kaum manakala pelajaran yang diajar kepada Ahli Adat adalah pelajaran Ilmu Silat yang sebenar yang hanya di ajar kepada orang Islam sahaja. Ilmu ahli adat merupakan ilmu yang amat merbahaya dan tidak diajarkan kepada pelajar sekolah, tidak dibuat pertunjukan dan tidak boleh dipertandingkan.

Jurulatih juga terbahagi kepada dua iaitu:
 

  1. Jurulatih Akademi
  2. Jurulatih Adat

Jurulatih Akademi adalah mereka yang hanya memiliki ilmu silat mengikut sukatan pelajaran yang telah didaftarkan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia serta JKKN.

Jurulatih Adat pula adalah mereka yang memiliki ilmu yang sama seperti Jurulatih Akademi dengan tambahan ilmu yang dikhususkan untuk ahli adat sahaja.

Begitulah serba ringkas mengenai PSSLM dan pelajaran yang terdapat didalamnya.


Disediakan oleh Setiausaha Agong PSSLM

Sunday, 15 December 2019

KURSUS JURULATIH DAN PENERIMAAN MURID BAHARU

Satu kursus jurulatih tahap satu dan majlis penerimaan murid Seni Silat Lintau telah diadakan di Keningau, Sabah bermula dari 12 hingga 20 haribulan November 2019. Kursus dijalankan di rumah Cikgu Musah yang terletak di Taman Adika 11, Keningau.

Kursus tersebut disertai oleh tujuh orang Guru dari Nabawan dan Tambunan dan seorang pelajar dari Nabawan.

Peserta kursus di ajar sukatan pelajaran yang disusun oleh Ybrs Dr (H) Kamal Shah selaku Guru Utama PSSLM.

Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Cikgu Moksin daripada PESAKA Keningau yang turut hadir pada malam mandi adat.

















Kursus selama 7 malam itu berjaya melahirkan 4 orang Jurulatih yang akan mengajar di sekolah-sekolah di Nabawan.