Monday 22 July 2013

Pengenalan Silat Lintau

Pengenalan Silat Lintau
Silat merupakan seni mempertahankan diri khususnya bagi orang Melayu. Terdapat pelbagai jenis silat di Malaysia antaranya, Silat Cekak, Gayung, Lintau, Pulut, Sendeng dan sebagainya. 

Menurut Pak Ahmad bin Rashid, seorang guru silat di Perak, Silat Lintau ini merupakan seni mempertahankan diri yang berasal dari Lintau, Tanah Datar, Indonesia. Seni mempertahankan diri ini dipelajari oleh masyarakat Melayu/Minangkabau di daerah tersebut. 

Silat Lintau mempunyai gerak yang jika dilihat agak sumbang atau kekok. Silat ini amat berbeza dari Silat-Silat yang lain. Hal ini kerana, contohnya, jika pengamalnya menumbuk musuhnya, dia tidak akan mengambil ‘ambang’ atau perlu mengumpulkan tenaga yang kuat untuk sesuatu pergerakan. Pengamalnya, akan menghantar penumbuk kepada pihak lawan untuk mengumpan bagi melihat gerak geri musuh untuk tindakan seterusnya.

Dalam permainan Silat Lintau ini pesilat mempunyai kunci-kunci dalam aksinya dan setiap kunci tersebut mempunyai cara untuk melepaskan diri dan seterusnya membalas ‘buah pukulan’ yang dihantar oleh musuh. ‘Buah pukulan’ merupakan aksi seperti tumbukan, sepakan, dan sebagainya sebagai alat untuk melawan musuh.

Bagi pengetahuan pembaca, Silat Lintau agak unik. Hal ini kerana, Silat ini tidak memerlukan tenaga yang kuat untuk melawan musuh sebaliknya ia banyak menggunakan tenaga dari pihak lawan yang diserap dengan menggunakan teknik yang betul. Terdapat nama-nama dalam Silat Lintau ini yang menggambarkan buah-buah pukulan tersebut seperti ‘cekak tua’, 'pilin' dan ‘pasung’ dan lain lagi.

Silat Lintau menghentam atau melawan musuhnya di bahagian-bahagian yang boleh membawa maut atau mencederakan musuh contohnya di bahagian belakang kepala, bahagian mata, telinga, halkum, dada, bawah ketiak, tulang rusuk dan kemaluan. Silat ini tidak sesuai untuk pertunjukan atau untuk memasuki pertandingan kerana Silat ini agak berbahaya. Pengamalnya diajar bahawa setiap ‘buah pukulan’ yang diturunkan kepada mereka agak berbahaya untuk dipertontonkan, dikhuatiri akan memudaratkan pihak lawan semasa petunjukan tersebut.

Silat Lintau juga tidak mempunyai ‘bunga’ sebagai permulaan. Silat ini bergantung kepada langkah yang akan dilakukan seterusnya untuk beraksi.

Mengenai Ilmu Kebatinan pula, Silat Lintau yang diajar di Pasir Puteh, Kelantan ini lebih menekankan kepada amalan yang ditinggalkan oleh junjungan Nabi Muhammad S.A.W. seperti Al-Ma'surat dan lain-lain. Penekanan diberi kepada ilmu tauhid, memantapkan akidah para pesilat yang belajar di gelanggang kami.

Silat Lintau ini mempunyai penamatnya. Namun, setelah dikaji penamatnya mempunyai tempoh masa yang agak lama seperti 10 tahun sehingga 15 tahun bergantung kepada guru Silat tersebut. Oleh yang demikian, murid ditamatkan sendiri oleh gurunya setelah melihat kepada kebolehan dan kemahiran yang ada pada anak muridnya.

Kesimpulannya, pelbagai jenis cara dapat dilakukan sebagai cara untuk mempertahankan diri. Salah satunya ialah dengan mempelajari ilmu persilatan. Akan tetapi, seni mempertahankan diri adalah untuk mempertahankan diri bukan untuk menunjukkan kehebatan dan kehandalan individu.